Hasrat seorang warga Amerika Syarikat, Gonzales Christopher, 25, yang baru tiba di negeri ini untuk merasai kelazatan sup belut tertunai selepas dibawa oleh tiga sahabat barunya ke sebuah gerai tengah malam tadi.
Namun sup itu menjadi menu terakhirnya apabila dia bersama dua lagi rakan termasuk seorang wanita terbunuh selepas kereta dinaiki mereka merempuh tembok sebuah jambatan ketika mengelak seekor kucing.
Lebih tragis kemalangan pada pukul 4.15 pagi di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Bunut Payong di sini, turut mengakibatkan ketiga-tiga mereka rentung apabila kereta Proton Persona tersebut terbakar.
Dua rakan mangsa yang terbunuh ialah Tengku Shamsu Tuan Ibrahim, 25, berasal dari Tanah Merah dan wanita dikenali sebagai Diana (Dayana), 22, dari Ketereh.
Pemandu kereta, Tengku Ahmad Nazim Tengku Azizan, 30, bagaimanapun terselamat selepas merangkak keluar dari kereta miliknya itu tetapi melecur hampir 18 peratus anggota badannya.
Tengku Ahmad ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) hari ini berkata, dia bersama Tengku Shamsu dan Diana baru sahaja mengenali Christopher di sebuah hotel, di sini malam tadi.
‘‘Dia (Christopher) teringin makan sup belut dan oleh itu saya ajak dia keluar tengah malam tadi untuk menikmatinya di sebuah gerai yang masih dibuka.
‘‘Kami berkenalan sebab dia seorang penyelidik dan memerlukan beberapa maklumat daripada saya mengenai penduduk negeri ini,’’ katanya yang bekerja di Jabatan Perangkaan Kelantan.
Tengku Ahmad memberitahu, kemalangan tersebut berpunca daripada tindakannya yang cuba mengelak seekor kucing melintas menyebabkan kereta dipandunya hilang kawalan.
‘‘Saya tidak memandu laju tetapi terkejut apabila lihat kucing tiba-tiba melintas lalu gagal mengawal stereng dan merempuh tembok sebuah jambatan.
‘‘Sebaik rempuhan itu berlaku saya pengsan seketika dan apabila sedar saya terhidu bau hangit seperti benda terbakar.
‘‘Saya berusaha sedaya upaya merangkak keluar untuk menyelamatkan diri dan tidak tahu apa yang berlaku terhadap tiga lagi rakan saya,’’ jelasnya.
Katanya, selepas berjaya keluar dari kereta tersebut dia pengsan sekali lagi dan tersedar apabila berada di HRPZ II.
Sementara itu, Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ghani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada pukul 5.13 pagi.
Katanya, 12 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim dan Kota Bharu tiba ke tempat kejadian beberapa minit selepas itu.
‘‘Ketika tiba kereta itu telah terbakar dan dua mangsa terperangkap di dalamnya manakala seorang lagi berada di bawah kenderaan tersebut.
‘‘Bomba memerlukan kira-kira 20 minit untuk memotong kereta yang telah hangus itu bagi mengeluarkan kesemua mangsa,’’ katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang lelaki maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah bas di persimpangan lampu isyarat berhadapan Pasar Raya KB Mall.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Che Hashim Che Ibrahim, 42, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua kejadian tersebut dan masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca.